nota: cerpen ini bukan hasil karangan dari pemilik blog..sekadar ingin berkongsi...
sumber dari laman web iluvislam.com...
***********************************************************************************************************************
Safiyya masih duduk berteleku di atas sejadahnya usai solat Isyak.
Malam itu terasa asing sekali baginya. Peristiwa 6 tahun lalu kembali
membebankan fikirannya. Iqmal pula sekadar memandang simpati pada
isterinya. Apa yang dapat dia bantu isterinya, telah pun terlaksana. Dia
membawa luka hati isterinya jauh dari keluarga sendiri. Harapannya
supaya sang isteri kembali tersenyum dan bahagia di sisinya.
7 tahun pernikahannya dengan Iqmal membawa kebahagiaan dan Iqmal
adalah cinta sejati yang dikirim Tuhan buatnya seperti yang dia selalu
sebut dalam doa-doanya. Tapi bagi sesetengah ahli keluarganya, dia
bagaikan perampas kekasih orang!. Dia adalah orang yang langsung tak
kenang budi!
"argh! bukan salah aku!", desis hati kecil Safiyya. Baginya, itulah ayat yang selalu menyedapkan perasaannya.
Iqmal menggeleng kepala apabila mendengar esakan Safiyya menjadi-jadi. Iqmal jadi serba salah.
'barangkali, Fiya teringat kejadian itu', Iqmal bermonolog sendirian.
Buku di tangannya ditutup rapi. Daripada pembaringannya, dia duduk pula kerana mulai risau akan si isteri.
"Fiya, kenapa menangis?", Iqmal mulakan bicara.
Safiyya cepat-cepat mengesat air matanya. Dia tak mahu Iqmal terasa hati kerana dia teringatkan peristiwa 6 tahun dulu.
"Tak ada apa-apa. Fiya cuma selsema sikit", Jawabnya berbasi-basi.
"yeke awak selsema nie?. Makan ubat dah?", Iqmal mencari kepastian
"err.. dah. Panadol saja", Safiyya bangun dan melipat telekung dan sejadahnya.
Memang betul Safiyya dah telan pil penahan sakit itu bagi melegakan sakit kepalanya tengah hari tadi tapi bukan sebab selsema.
Safiyya membuka jendela di luar. Pandangannya terus ke langit gelap
yang dihiasi bintang-bintang malam. Dia tersenyum dan satu keluahan
berat dilepaskan. wajahnya berubah suram.
Iqmal pula hanya memandang kosong kepada isterinya. Dia betul-betul
jadi serba salah. Lalu, dia keluar dari kamar tersebut seraya turun ke
ruang tamu. Dan Safiyya masih di situ.
********************************
Lima bulan selepas pernikahan dia dan Iqmal, mereka sudah mampu
membeli sebuah rumah di Shah Alam berdekatan sahaja dengan pejabat
Iqmal. Itulah hasil daripada berjimat cermat mereka. Rasa bahagia itu
bertambah apabila Safiyya sendiri telah hamil 2 bulan.
Pagi sabtu itu benar-benar memenatkan pasangan tersebut. Mereka
sangat sibuk mengemas rumah baru itu. Sesekali Safiyya tersenyum melihat
Iqmal mengangkat barang-barang berat bersama pekerja-pekerja indonesia
yang diupah.
Kasihan pun ada, lucu pun ada. Kadang-kadang dia pun tak percaya
bahawa Iqmal adalah suaminya sendiri. Alahai.. perempuan la katakan,
berangan tak ingat!.
Safiyya hanya mampu membantu yang ringan-ringan sahaja. Iqmal sendiri
akan bising kalau Safiyya cuba mengangkat barang-barang ke tingkat
atas. Safiyya menggeleng sahaja. Malas mahu berbahas dengan pembantu
pengarah di sebuah syarikat perakaunan itu.
"Awak nampak tak kotak yang isinya barang-barang dapur?", tanya Safiyya.
Diam. Iqmal sudah pun ada di luar ketika Safiyya bertanya.
"Buk, tuannya lagi diluar itu", jawab pekerja indonesia dengan loghatnya.
"oh..", Safiyya berpaling sambil tersipu-sipu malu kepada pekerja tersebut.
Safiyya berjalan keluar mencari suaminya. Dia ternampak seorang perempuan bersama Iqmal.
'Barangkali, jiran sebelah rumah', desis hati Safiyya.
"eh, Kak Maya! Baru sampai?", Safiyya menegur dan dia mula
kehairanan melihat suaminya menggelabah sedikit. dan Kak Maya? Kenapa
dia boleh tahu kami pindah di sini? Padahal Safiyya sendiri belum
beritahu keluarga terdekatnya.
"dah lama aku sampai. saja nak melihat-lihat istana bahagia korang nie!", sinis dan kasar sekali kata-kata Maya.
Safiyya tertawa kecil. Baginya Kak Maya mungkin bergurau.
"oh ya. Ini suami saya. Iqmal namanya. Akak kan tak jumpa lagi
dia. Masa kami nikah dulu, akak bercuti dengan kawan-kawan kat Singapura
kan?", ramah Safiyya membuatkan Maya menjadi meluat.
"awak, nie kakak sepupu saya, Kak Maya", Safiyya menjelaskan lagi kali ini kepada Iqmal.
"masukla dulu kak", pelawa Safiyya. Iqmal masih terdiam dan menjadi serba salah.
"ehh perempuan!, jangan tunjuk baik ye!", bentak Maya dengan menunding-nunding jari telunjuknya kepada Safiyya.
Safiyya terkejut. mukanya kini benar-benar terkejut.
'apa salah aku lagi?', Safiyya jadi hairan
"ehh perampas! kau tahu tak Iqmal nie kekasih aku? Kenapa kau kahwin juga dengan dia? Dasar perempuan tak tahu malu!", Maya menuduh Safiyya.
"perampas? kekasih akak?", Safiyya keliru. Pandangannya beralih kepada Iqmal.
"awak, apa semua nie?", Safiyya gelisah jadinya.
Pandangan Iqmal terus kepada Maya.
"Maya! hubungan kita dah lama
berakhir, cukup Maya! Kau yang tinggalkan aku terkapai-kapai. Kau yang
ada lelaki lain kan? Kau lupa ke macam mana kau tinggalkan aku 2 tahun
dulu? Kau hina mak bapak aku, Maya.", Iqmal menjelaskan. Terasa geram sekali dengan perempuan itu. Walaupun bertudung litup, tapi hatinya kotor!
Safiyya terduduk di lantai. Dia terasa seram sejuk dan wajahnya mulai pucat.
"Iqmal, maafkan I, sayang. Kita boleh mula lagi sekali kan. U kan
masih sayangkan I? Ingat tak kita dah janji nak kahwin, lepas tu kita
nak berbulan madu di Paris?. Sayang, ingatkan?. Ceraikan sahaja
perempuan ni. I sanggup terima u walaupun duda.", rayu Maya sambil memegang tangan Iqmal dan memeluk erat lengannya.
Safiyya menutup telinga dan matanya. Dia rasa berdosa melihat
perbuatan anak Mak Longnya itu. Iqmal menolak Maya ke tepi. Seraya
mendapatkan Safiyya di lantai.
"pergi mampus dengan semua tu! Baik kau pergi sekarang. Muka kau buat aku muak tahu tak!?," Iqmal menghalau Maya.
Maya geram.
"oh!. I tahu permainan you. you kahwin dengan dia,
sebab nak dekat dengan I kan?. Tak apalah sayang, I sanggup tunggu you.
Take your time ok!. bye sayang!", Jawab Maya lalu berjalan terkedek-kedek meninggalkan perkarangan rumah dan mendapatkan keretanya.
Safiyya bangun. Rasa sakit hatinya mula menghasut jiwa. Dia hilang
arah. Lalu masuk ke rumah dan terduduk di sofa baldu merah. Iqmal
mengekori belakang sambil menyuruh pekerja-pekerja upahan itu pulang
selepas selesai kerjanya. Iqmal duduk dilantai mendekati isterinya.
"Sayang. Maafkan saya. Ya. saya mengaku dulu kami pernah
bercinta. Saya sayang dia sangat tapi dia berani hina mak ayah saya
depan saya pula tu. Kami putus pun sebab dia juga ada lelaki lain.
Sebenarnya dia yang tinggalkan saya macam tu saja. Saya sendiri
terkilan. Tapi itu dah lama dulu. Saya berjaya lupakan dia. Dan berkat
doa saya, saya jumpa awak, Safiyya. Sekarang, saya hanya ada awak." sungguh-sungguh Iqmal menjelaskan.
Safiyya tetap diam. Hatinya bagai diremuk. Apa perlukah dia percaya
pada suaminya? Tak, dia tak boleh ego dengan suami sendiri. Safiyya cuba
berlembut hati.
"Fiya. saya minta maaf sebab tak bagitahu awak mengenai ini. Saya sendiri tak tahu dia sepupu awak. kalau saya tahu..."
"Kalau awak tahu, awak tak akan nikah dengan saya?", Safiyya
mencelah bagi mencari kepastian. Dia tahu hati budi suaminya. Orangnya
penyabar dan ikhlasnya tergambar dalam renungan matanya.
"Tidak sayang. Kalau saya tahu, saya akan terus terang dengan
awak. Saya sendiri terlupa tentang semua hal mengenai Maya. Awak yang
melupakan saya tentang semua tu. Saya bersyukur sangat memiliki awak,
sayang." Iqmal menjawab.
Safiyya tersenyum kelat kepada suaminya. Dia tak mahu Iqmal terasa
dihukum. Safiyya sendiri perlu masa untuk menelan semuanya. Aduh! mesti
ahli keluarga yang lain sudah pun tahu tentang ini. Macam mana dia perlu
menjelaskan perkara sebenar?.
Safiyya bangun dari sofa.
"fiya", panggil Iqmal.
"saya nak masak". Jawab Safiyya ringkas.
Senyuman Safiyya sebentar tadi cukup memberitahu Iqmal betapa hatinya terluka. Iqmal melepaskan keluhan berat.
Kandungan Safiyya sudah mula membesar. Sudah 6 bulan. Dia terasa
bahagia. Iqmal yang paling risaukannya. Ibu mertuanya, Mak Limah juga
sama. Asyik sahaja ke rumah mereka untuk temankan Safiyya. Katanya risau
Safiyya duduk rumah seorang diri kalau Iqmal ke pejabat.
Safiyya tersenyum dengan telatah ibu mertuanya itu. Mak Safiyya pula
ke sini selalunya pada hujung minggu sahaja. Iqmal pula pandai
membahagikan masa di pejabat dan di rumah. Kadang-kadang, kerja
pejabatnya dibawa ke rumah.
'Syukur padaMu, Ya Allah atas bahagia ini', Safiyya bersyukur.
Selama dia mengandung, Safiyya tidak pernah mengidam bukan-bukan lagi.
Sampai satu malam tu, dia mengejutkan suaminya.
"Awak, bangun kejap, saya nak cakap nie, bangun la kejap", sambil mengoncang tubuh suaminya.
"urm... apa dia?", mata Iqmal antara buka dan tutup. Tapi digagahkan juga untuk bangun.
"Saya nak makan daging itik la. Kita balik rumah mak saya ya?.
Esok kita balik ya. Saya nak yang ayah saya sembelih sendiri. Lepas tu
bakar. Mesti sedap!" Safiyya meminta bagai anak kecil.
"Hah?! Itik? sekarang ke?", Iqmal terkejut
"Bukan, bukan sekarang. Saya tahu awak mengantuk lagi. Esok kita balik rumah mak saya ya.", Safiyya menjelaskan lagi.
"Esok? Itik? Balik rumah mak?ok. Kita tidur dulu ya", Iqmal memujuk.
Tersenyum lebar Safiyya lalu kembali berbaring.
Keesokkan harinya, Safiyya dan Iqmal sampai di rumah mak dan ayahnya.
Hanya 1 jam perjalanan dari rumah mereka. Safiyya dengan terujanya
mendapatkan ayahnya di belakang rumah. Di situ juga ditempatkan ladang
itik kepunyaan ayahnya.
'Mesti sedang sibuk bagi makan pada itik-itiknya la tu', desis Safiyya.
"Assalammualaikum..", sopan Safiyya menyalami ayahnya.
"Waalaikummusalam. Eh. Anak ayah dah balik. Iqmal mana?"
"Ada di depan, ayah. Fiya nak makan daging itik la. Ayah sembelihkan ya. Lepas itu, kita bakar", Safiyya cepat-cepat memberitahu hajatnya seperti merengek-rengek
Pak Rahman mengeleng kepala dan tersenyum melihat anaknya yang
mengidam itu. Safiyya adalah anak yang paling rapat dengannya. Padanya,
Safiyya yang paling mendengar kata, jadi dia sangat berbesar hati
melakukan apa saja untuk anaknya itu. Tetapi Pak Rahman tidak pernah
pilih kasih dengan 4 orang anaknya lagi.
"Boleh fiya. Dah salam mak belum?", Pak Rahman bersetuju dan bertanya
"Belum. hehe.." Safiyya hanya tersengih.
"Kereta siapa di depan tu, ayah?", tanya Iqmal sambil menyalami Pak Rahman.
"Honda warna biru tu?" Iqmal mengangguk.
"Anak Mak Long kau punya tu, si Maya. Katanya nak makan tengah hari bersama. Mak Long pun ada tu.", Jawab Pak Rahman tenang.
Iqmal dan Safiyya berpandangan
"Dah. pergi masuk dulu. Ayah nak pilih itik yang mana nak kena sembelih nie.", ayah bercakap sambil memanjangkan lehernya mencari itik yang sesuai.
Iqmal dan Safiyya berjalan tenang ke dalam rumah. Sempat Safiyya
menjeling dengan ekor matanya kepada perempuan berbaju biru dengan
seluar jeans dan tudung putih di kepala yang dikemas rapi duduk di sudut
ruang tamu. Safiyya sebenarnya tak sanggup menatap wajah kakak
sepupunya itu. Terasa sakitnya kembali menusuk. Dia terus ke dapur
melalui ruangan tengah.
"Mak", Safiyya menyalami emaknya yang sibuk di dapur. Diikuti dengan Iqmal.
"Hurm, dah balik kamu. Mimpi apa ke mari?", Mak Siti menegur anak menantunya itu sedikit sinis.
"Fiya teringin nak makan daging itik katanya, itulah dia ajak ke mari", Iqmal tenang menjawab.
Dia sebenarnya dah berasa tak sedap hati sejak dalam kereta lagi.
Mak Long hanya memerhati tingkah mereka. Safiyya menyalami Mak
Longnya juga sambil tangan Mak Longnya mengusap lembut
kepalanya. Safiyya tersenyum. Ada simpati di mata Mak Longnya. Bagaikan
mengetahui apa yang berlaku antara Safiyya, Iqmal dan Maya.
"Sihat, Fiya?", tanya Mak Long.
"Sihat, Alhamdullillah."
"Baby dalam perut sihat?" Mak Siti pula menyoal.
"Baby lagi sihat", Safiyya menjawab bahagia.
"Hah! dah balik rupanya perempuan nie?", Maya menyergah dari belakang Safiyya.
Safiyya sedikit terkejut, lalu pura-pura membantu Mak Siti membasuh pinggan.
Iqmal hanya melihat geram. Dia sudah berdiri di pintu dapur yang menghadap ladang itik Pak Rahman.
"isy! Maya ni, kenapa kasar sangat bahasa tu. Mak tak ajar pun", Mak Long menegur anaknya.
"Rasanya, Mak Siti pun tak ajar anak dia jadi perampas kekasih orang!", Tambah Maya lagi.
Berderau darah Safiyya mendengarnya. Dia menjadi seram sejuk. Rasa
nak pitam pun ada. Dia menutup paip air yang digunakan tadi. Mak Long
dan Mak Siti saling berpandangan.
'Ya Allah, jauhi aku dari permusuhan ini', doa Safiyya.
Maya mendekati Mak Siti. Dia cuba mengapi-apikan makciknya itu.
"Mak
Siti tahu tak, Iqmal ni sebenarnya kekasih Maya. Safiyya yang tak tahu
malu tu yang berani-beraninya berkahwin dengan kekasih kakak sepupu dia
sendiri".
Mak Siti memandang Safiyya bagi mencari kepastian.
"Eh. Iqmal. Apa yang you nampak pada Safiyya tu? Dia ada diploma
je. I ni, ada master, ok! Sekarang I ada kerja besar lagi. You pun boleh
tumpang sekaki. Ingat tak janji you dulu pada I. Kita kan dah rancang
nak kahwin juga", Maya cuba merayu pada Iqmal sambil tangannya
mengapai lengan Iqmal. Tapi sayang sekali, kata-kata Maya hanya mencabar
kelakian Iqmal.
Safiyya menjadi geram. Dia mendekati Maya dan menepis tangannya.
"Akak!
Cukup dengan semua ni. Dia dah jadi suami saya. Dia milik saya. Akak
tak ada hak nak pegang-pegang suami saya. Iqmal suami saya. Terimala
kenyataan. Cerita 2 tahun dulu sudah tamat buat akak dan Iqmal. Sanggup
akak buat macam ni? kenapa? Iqmal dah ada jawatan besar sekarang, baru
akak nak terhegeh-hegeh dengan dia kan? betul kan?!".
Pang!
"Fiya!", Iqmal dan Pak Rahman menjerit memanggil.
Satu penampar melekat di pipi Safiyya. Dia terjelepuk jatuh ke
lantai. Air matanya gugur. Hatinya sakit sekali. Tak dapat digambar
perasaan itu. Iqmal mendapatkan isterinya. Pak Rahman yang baru masuk
dari luar meletakkan bekas yang berisi daging itik yang baru
disembelihnya.
Mak Siti geram jadinya. Dia tidak semena-mena menampar Safiyya yang tidak bersalah.
"Kenapa Fiya rampas Iqmal dari Maya?," Tanya Mak Siti sambil
bertalu-talu memukul lengan Safiyya yang masih di lantai. Iqmal cuma
menunduk. Maya sudah tersenyum puas. Hatinya bernyanyi gembira.
'Rasakan itu, perempuan!', hati Maya berkata.
"Kalau korang nak tahu, dah 2 bulan aku ikut korang berdua sampailah kita jumpa dekat rumah baru korang tu!", Maya bersuara lagi disambung dengan ketawa jahatnya.
Pang!
Kali ini Maya pula yang ditampar Mak Long. Maya memegang pipinya.
"Kenapa mak ni?", Maya memarahi ibunya.
"Kenapa kau tanya? Eh. Aku hantar kau belajar tinggi-tinggi untuk
jadi orang yang berilmu, berbudi bahasa, berakal. Apa aku dapat
sekarang. Eh. kalau sekalipun kau dapat ceraikan mereka, apa gelaran
untuk kau pulak? Perampas laki orang?", jawab Mak Long kasar sambil
menonjol-nonjol kepala anaknya. Mak Long terasa menyesal dan malu
dengan perbuatan anaknya. Mujur tiada saudara lain di situ.
Pak Rahman menghampiri Iqmal.
"Bawa dia pulang, nak. Bawa dia pergi jauh dari sini". Iqmal mengangguk. Lalu dia memapah Safiyya keluar dari dapur.
"Ingat Maya, kau dah hina mak ayah aku dulu masa aku masih
miskin. Sekarang kau dah ludah, kau nak jilat balik? Kotornya hati kau,
busuk!", Iqmal sempat mencemuh Maya.
Mak Siti masih menangis teresak-esak di lantai. antara kecewa dan kesal kerana memukul Safiyya.
Malam itu, Pak Rahman sanggup menghantar bekalan itik bakar buat
Safiyya. Kasihan terasa kerana gara-gara mengidamkan itik bakar, anaknya
ditimpa pukulan hebat sekali. Semasa Pak Rahman tiba, Safiyya dilihat
duduk termenung di jendela dapur.
'Ya Allah, berikanlah kekuatan buat anakku, Safiyya. Berikan bahagia buatnya', doa Pak Rahman.
"Fiya, ayah datang nie", beritahu Iqmal.
Safiyya berpaling dan tersenyum manis buat ayahnya. Dia menyembunyikan rasa kecewa itu. dalam hatinya tertanya,
'kenapa maknya tidak ikut sekali. Barangkali mak kecewa dengan aku. tapi adakah ini salah aku?'
"Ayah". Safiyya segera mencium tangan ayahnya
"Ini untuk Fiya dan cucu ayah", Pak Rahman menghulur bungkusan kepada Safiyya sambil tersenyum simpati.
"Terima kasih, ayah".
Iqmal mempelawa Pak Rahman duduk di ruang tamu. Sambil menonton
rancangan di televisyen, mereka berbual kosong. Safiyya datang
menghidang minuman dan itik bakar tadi.
"Jemput minum ayah, awak sekali ya", seloroh Safiyya pada Iqmal dan Pak Rahman
'argh! Safiyya memang pandai menyembunyikan perasaan kecewanya', desis Iqmal
Safiyya duduk di atas permaidani berdekatan meja. Senang baginya duduk dibawah sambil makan itik bakar.
"Fiya ikut Iqmal pindah ke Jordan juga", tanya Pak Rahman.
Safiyya diam. Sebenarnya, sejak petang tadi lagi Iqmal dah bertanya
kepada Safiyya namun dia masih memikirkan jawapan ke Jordan. Akhirnya,
dia mengangguk. Biarlah dia dan Iqmal mulakan kehidupan baru di sana dan
sememangnya, Safiyya tidak meragui Iqmal.
"Bagusla. Harap Fiya bahagia di sana ya, nak.", Pak Rahman berharap lagi.
"InsyaAllah, ayah. Lusa kami akan berangkat." Jawab Safiyya.
"Yeke. awalnya? Rumah ni?", Pak rahman jadi hairan.
"emm, dah ada penyewa, ayah. Mereka sanggup bayar lebih kerana
perabot juga ada walaupun tak banyak. Kami cuma perlu bawa pakaian dan
barangan penting sahaja. Di sana juga ada apartment buat kami. Kerja
banyak di sana, jadi saya terpaksa pergi awal.", Iqmal mencelah.
Safiyya mengangguk lagi.
"Ayah tolong tengok-tengokkan rumah ni ya", pinta Safiyya.
Pak Rahman tersenyum.
Tiba di lapangan terbang, Safiyya duduk kepenatan. Dia sudah sarat
sebenarnya dengan kandungannya. Cuma Mak Limah dan Pak Jalil yang
menghantar mereka. Maklumlah, Iqmal sebenarnya anak tunggal. Safiyya
menunggu ayahnya. Perasaannya gelisah. Takut-takut ayahnya terlewat dan
mereka tak sempat bertemu.
"Jangan risau, ayah mesti datang", Iqmal cuba menenangkan isterinya.
Selang beberapa minit, Pak Rahman datang bersama keluarga kakak
sulung Safiyya, Sakinah. Safiyya tersenyum. Namun Mak Siti tidak
kelihatan. Hatinya hampa.
"Jaga diri baik-baik, nak", Pak Rahman berpesan sambil mengusap kepala Safiyya yang tunduk mencium tangannya.
Safiyya tersenyum lagi.
"kirim salam saya buat mak" Pak Rahman mengangguk.
Seterusnya, Safiyya merapati Sakinah.
"Jaga ayah dan mak untuk saya ya", sambil memeluk kakaknya."
"Baiklah. Kamu tu, jangan banyak sangat fikir. Kirim e-mail bila
kelapangan pada kakak tau. Kakak nak tengok anak saudara yang satu ni", pesan Sakinah sambil memegang lembut kandungan Safiyya.
Ada air jernih membasahi pipi Safiyya dan Sakinah. Namun mereka tetap tersenyum.
Kapal terbang Air Asia itu meninggalkan bumi Malaysia seperti Safiyya sendiri, meninggalkan segala kepahitan yang dirasanya..
************************************
"Fiya, minum dulu sayang", Iqmal menghulurkan coklat panas.
Satu untuk Safiyya, dan satu lagi buat dirinya. Lamunan Safiyya terhenti
dengan pelawaan Iqmal. Sedari tadi Safiyya merenung keluar jendela
malam.
"Awak. kita balik raya tahun ni ya?", Safiyya bertanya. Iqmal terdiam. Dia merenung ke arah Safiyya. Dia takut luka isterinya akan berdarah lagi.
"Awak janganla takut. Saya cuma nak bawa Aman balik jumpa atok
dan neneknya. dah 5 tahun anak itu. Ibu awak pun mesti nak tengok
cucunya kan?", Safiyya menyakinkan Iqmal.
"Ok. Kita pun dah lama sangat beraya kat sini. Rindu juga saya pada mereka", Iqmal menambah.
Safiyya duduk di lantai bersebelahan suaminya. Kepalanya diletakkan betul-betul di atas peha Iqmal yang duduk di atas kerusi.
"Awak, maafkan saya atas segala yang berlaku pada kita bertahun
dulu. Luka saya dah pulih. Saya percayakan awak sebab itu saya akan
pertahankan awak. Biarla yang berlalu itu saya simpan jadi sejarah atau
mungkin boleh saya buang sahaja. Asalkan kita tetap bersama kerana
cintakanNya", Safiyya kepiluan
Iqmal meletakkan cawan yang dipegang. Rambut Safiyya di usap lembut.
'Ya Allah, Kau telah kurniakan aku isteri yang solehah. Moga cinta kami sentiasa di landasan Mu, Tuhan', doa Iqmal dalam hati
"Awak tak salah. Saya yang bersalah. Jangan risau, sayang. Selagi ada jodoh kita, hanya ajal memisahkan ikatan pernikahan ini.", Iqmal berjanji
"Terima kasih, sayang", Safiyya membalas.
'Ya Allah, Kau telah kurniakan aku sebaik-baik suami. Jangan Kau
hilangkan rasa cintaku ini padanya dan jangan pula Kau lekakan kami
dengan cinta ini', hati Safiyya berbisik.
Safiyya tersenyum dan berharap agar Syawal tahun itu membahagiakan mereka sekeluarga.
Syukran Sudi Baca..Kalau Suka, LIKE dan KOMEN..TQ ^__^